::SELAMAT DATANG KE PORTAL SEKOLAH KEBANGSAAN PANJI::

'Terima Kasih Cikgu'

24 Jun, 2016

Panduan Memohon Guru Cemerlang: Persediaan Menghadapi Nazir



1) Cakna dengan tarikh pemantauan
Untuk beberapa tempoh selepas memohon, sila lah cakna (alert) dengan berita-berita pemantauan Guru Cemerlang daripada sekolah lain atau yang berdekatan. Ini kerana ada Nazir yang datang secara spontan dan terus memantau guru, dengan alasan Guru Cemerlang bersedia pada setiap masa. Namun ada juga yang akan memberitahu minggu untuk pemantauan. Jadi perlu bersedia dan jaga-jaga sepanjang seminggu tersebut.


2) Kenali Nazir yang datang memantau
Bagi memudahkan urusan  dengan Nazir tersebut, cuba dapatkan maklumat mengenai Nazir yang akan datang untuk memanta. Dapatkan sedikit biodata diri dan juga maklumat perkhidmatan Nazir tersebut. Ini akan memudahkan anda ketika berurusan dengan Nazir tersebut. Mungkin ada dalam kalangan Nazir yang mempunyai gelaran nama yang tertentu (seperti Dr, YM dan lain-lain), jadi lebih manis jika memulakan perbualan dengan gelaran tersebut.

3) Datang ke sekolah lebih awal
Sebagai persiapan awal, sebolehnya datang lebih awal daripada biasa ke sekolah pada hari pemantauan. Ini bagi membolehkan berasa lebih selesa dan tidak tergesa-gesa membuat persiapan akhir. Kemaskan juga tempat duduk. Bilik atau kelas yang digunakan untuk mengajar juga dikemaskan. Jika ada papan kenyataan, sila kemaskini dengan maklumat terkini. Sekiranya merupakan penyelaras kepada bilik khas yang tertentu, pastikan kebersihan dan kekemasan bilik tersebut terjaga.



4) Sediakan relief class / sit in
Bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada hari dipantau oleh Nazir, lebih baik jika memohon jasa baik rakan untuk relief class atau bagi kelas sepanjang hari tersebut. Manalah tahu jika Nazir mengambil masa sepanjang hari untuk sesi pemantauan di kelas atau semasa temuduga atau semasa memeriksa dokumen anda. Persiapan sebegini membolehkan rasa lebih yakin dan fokus dengan keperluan Nazir.



5) Kumpulkan semua dokumen
Dokumen dan semua bahan yang telah sediakan, perlu diletakkan di tempat atau bilik yang boleh diakses. Bahan-bahan seperti alat bantu mengajar, fail, folio, dokumentasi dan peralatan yang digunakan untuk pengajaran mestilah sudah diletakkan bersama-sama dan tunggu untuk diangkut ke bilik yang menjadi bilik sesi dan Nazir. Sekurang-kurangnya, sudah sedia maklum di mana letaknya bahan-bahan ketika mahu mempersembahkan kepada Nazir untuk dinilai.


6) Isu terkini pendidikan
Untuk sesi temuduga dengan Nazir, persiapkan diri dengan isu-isu terkini dalam pendidikan, serta yang berkenaan dengan bidang tugas. Sebagai contoh, mungkin pada masa sekarang, isu seperti Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dan isu Melindungi Masa Instruktional (MMI) perlu diberi perhatian. Selain daripada itu, dasar-dasar terkini kerajaan dalam pendidikan seperti Dasar 1 Murid 1 Sukan, Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+), Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM), dan lain-lain yang difikirkan berkaitan perlu juga dititikberatkan.

7) Baca Semula Teori Pendidikan
Satu lagi persiapan yang perlu dilakukan bagi menghadapi sesi temuduga Nazir adalah teori-teori pengajaran dan pendidikan. Buka lah semula buku-buku pendidikan bagi mengingati semula sekurang-kurangnya nama teori dan juga konsep masing-masing. Antara yang dapat  sebutkan di sini, Teori Belajar Humanistik, Teori Behaviorisme, Teori Pembelajaran Sosial, Teori Perilaku Bandura, dan Teori Belajar Kognitif (Ausubel : Teori Belajar Bermakna). Selain daripada itu, tambahkan lagi ilmu pendidikan di dada dengan strategi dan kaedah pendekatan pengajaran dan pembelajaran seperti Pendekatan Inkuiri, Konstruktivisme pembelajaran Kontekstual dan pembelajaran Masteri.


8) Tatacara Berpakaian
Selain itu, jagalah penampilan anda pada hari tersebut. Tampil dengan gaya yang hebat dan penuh dengan profesionalisma sebagai seorang guru. Gunakan juga tanda nama rasmi bagi pegawai kerajaan, iaitu tanda nama hitam dengan tulisan putih. Bagi guru lelaki, disarankan menggunakan baju kemeja berlengan panjang; dengan bahagian tangan dibutangkan sepenuhnya, serta lengkap bertali leher. Manakala bagi guru perempuan pula, dicadangkan supaya menggunakan baju kurung atau baju kebangsaan semasa hari penilaian. Namun, pada akhirnya, anda jugalah yang menjadi penentu kepada cara pakaian anda pada hari tersebut.


9) Semasa Sesi PdP
Diingatkan juga, semasa sesi penilaian Nazir dalam kelas, buat yang terbaik untuk sesi pengajaran dan pembelajaran. Gunakan suara yang jelas dan kuat. Kelas mestilah dikawal dengan baik. Pengajaran mestilah mengikut seperti yang dirancangkan dalam rancangan mengajar. Suasana dalam kelas pula tidak bosan dan penuh dengan aktiviti hands-on. Pengajaran perlulah menarik dan kreatif. Pastikan buku pelajar disemak dengan lengkap. Tunjukkan keprihatinan terhadap pelajar. Sebut nama pelajar bagi menunjukkan hubungan yang lebih akrab antara guru dan pelajar, serta jangan lupa menegur pelajar secara berhemah sekiranya mereka membuat kesilapan semasa sesi pdp. Pada akhir pembelajaran, jangan lupa juga untuk memberikan kerja rumah sebagai latihan pengkayaan kepada pelajar.


10) Doa dan Tawakal

Akhir kata, setelah usaha yang bersungguh-sungguh dilakukan, serta diiringi dengan doa, maka usaha terakhir yang boleh dilakukan adalah dengan berTawakal dan berserah segalanya kepada Yang Maha Esa. Sekiranya berada pada jalan yang betul, inshaAllah segalanya akan dipermudahkan. Nazir tidak akan memaklumkan sebarang perkara kepada anda; sama ada layak atau tidak untuk dilantik sebagai Guru Cemerlang atau pun di mana kelebihan atau kelemahan yang boleh dibaiki. Jadi jangan memaksa Nazir untuk perkara tersebut. Markah penilaian akan dihantar kepada pihak berkaitan dan seterusnya kesemua markah guru-guru yang dinilai seluruh Malaysia akan disusun. Bagi yang melepasi markah tertentu (berdasarkan kuota subjek dan gred, bukan negeri), tahniah diucapkan. Bagi yang kurang berjaya, cuba lagi pada masa akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan