JOHOR BAHRU 13 Mei - Penganjuran Festival Hari Guru
Kebangsaan 2017 dilihat cukup relevan dalam usaha meraikan jasa dan pengorbanan
besar para guru yang sentiasa berkorban tenaga dan masa menjadi nadi penggerak
utama dalam mendidik anak bangsa.
Festival anjuran Kementerian Pendidikan dengan
kerjasama Kumpulan Utusan itu merupakan bukti guru merupakan profesion penting
dalam pembangunan sosial negara.
Seorang guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum Sekolah
Menengah Kebangsaan Taman Selesa Jaya 2, Johor Bahru, Norzaidi Ismail berkata,
program seperti itu menaikkan semangat guru-guru untuk terus berdedikasi
menjalankan tugas sebagai pendidik.
“Program ini bukan sahaja meraikan guru tetapi
secara tidak langsung merapatkan hubungan antara anak didik dengan guru-guru
mereka.
“Saya berterima kasih kepada Jabatan Pendidikan
Johor, Kementerian Pendidikan dan Kumpulan Utusan kerana berjaya menganjurkan
Festival Hari Guru 2017 yang cukup meriah ini,” katanya ketika ditemui Utusan
Malaysia dalam Majlis Festival Hari Guru Kebangsaan 2017 di sini hari ini.
Sementara itu, Guru Bahasa Arab Sekolah Kebangsaan
Taman Universiti 4, Johor Bahru, Wardah Mokhtar berkata, program tersebut
memberi impak yang cukup baik bukan sahaja guru malah kepada murid-murid.
“Aktiviti yang dijalankan banyak melibatkan
penyertaan murid-murid dan ini memberi pendedahan kepada mereka untuk
menonjolkan diri,” ujarnya.
Bagi Guru Bahasa Arab Sekolah Rendah Agama
Bersepadu Johor Bahru, Nor Ahdat Mohamed pula, festival hari guru akan lebih
meriah jika diselitkan dengan program-program kesukanan.
“Program anjuran Kementerian Pendidikan dan
Kumpulan Utusan ini sudah cukup baik namun lebih berseri dan sihat jika
ditambah dengan aktiviti sukan,” katanya.
Sumber - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan