::SELAMAT DATANG KE PORTAL SEKOLAH KEBANGSAAN PANJI::

'Terima Kasih Cikgu'

11 April, 2017

Kumpulan Makanan Dalam Piramid Makanan


Piramid Makanan satu carta yang membantu kita untuk merancang pengambilan jenis-jenis makanan dan sukatan makanan yang sesuai untuk kita setiap hari . Piramid Makanan juga digunakan sebagai panduan dalam penyediaan makanan sihat.

Pengambilan makanan yang sihat dapat memastikan bahawa tubuh badan dan otak kita dapat menerima semua nutrien yang mencukupi bagi membolehkan ianya berfungsi dengan baik. Pengambilan makanan perlu dipelbagaikan kerana tiada satu makanan yang boleh membekalkan kesemua nutrien yang diperlukan oleh badan.

Piramid makanan ini telah diajar di sekolah rendah dalam mata pelajaran pendidikan kesihatan. Murid-murid perlu didedahkan dengan piramid makanan agar mereka mengambil makanan yang sihat. Rakyat Malaysia banyak menghidap penyakit diabetis disebabkan oleh pengambilan makanan yang tidak sihat. Oleh yang demikian, memang wajar pendedahan awal perlu diberikan sejak dari sekolah rendah lagi.


Kumpulan Makanan Dalam Piramid Makanan


ARAS 1
Aras 1 Piramid Makanan mengandungi kumpulan makanan yang kaya dengan karbohidrat kompleks, yang merupakan sumber tenaga yang utama. Makanan ini juga membekalkan vitamin, mineral, serat dan sedikit protein. Setiap hidangan makanan daripada kumpulan ini perlu diambil paling banyak. Contoh makanan bagi kumpulan ini adalah nasi, bubur, roti, mi, mihun, biskut, pasta, bijirin sarapan, capati, thosai, ubi keledek, keladi dan kentang.


ARAS 2
Aras 2 Piramid Makanan mengandungi makanan yang kaya dengan vitamin, mineral dan serat. Makanlah makanan di aras ini dengan banyak, dan pelbagaikan pilihan di dalam setiap hidangan. Contoh makanan bagi kumpulan ini ialah sayur-sayuran hijau dan buah-buahan.


ARAS 3
Daging, ayam, ikan dan kekacang terletak di Aras 3 Piramid Makanan. Makanan ini kaya dengan protein, vitamin B, zat besi, zink dan magnesium. Pilihlah daging rendah lemak dan buang semua lemak yang kelihatan pada daging dan ayam. Sekali sekala tukarkan penggunaan daging dengan kekacang, kerana ianya rendah lemak dan kaya dengan serat. Contoh kekacang adalah kacang soya dan hasilnya seperti tauhu dan tempe, kacang dhal dan kacang merah.

Hasil tenusu juga terletak di Aras 3 Piramid Makanan. Contoh hasil tenusu ialah susu, keju dan dadih. Makanan ini kaya dengan protein, kalsium dan biasanya diperkaya dengan vitamin D. Pilihlah hasil tenusu rendah lemak.


ARAS 4
Lemak, minyak, coklat, gula dan juga makanan yang kaya dengan bahan ini terletak di Aras 4 Piramid. Ini menunjukkan hanya sedikit sahaja makanan daripada kumpulan ini yang perlu dimakan.



Senarai Contoh Hidangan Mengikut Aras Piramid Makanan

Aras 1                                                                                                                        
Contoh (1 hidangan): ½ cawan nasi, 1 keping roti bijirin penuh, ½ cawan mi, ½ cawan bubur nasi kosong.

Aras 2                                                                                                                        
 Contoh (1 hidangan): ½ cawan sayuran, ½ cawan ubi keledek/ubi kayu/ubi keladi, 1 potong betik/tembikai/nenas, ½ cawan jus buah.

Aras 3                                                                                                                         
Contoh (1 hidangan):1 ketul paha ayam saiz sederhana, 2 ketul daging tanpa lemak sebesar kotak mancis, 2 taukwa, 2 biji telur.

Aras 4                                                                                                                           
Contoh (1 hidangan):1 cawan susu, 1 cawan yogult, 1 keping keju.


Kesimpulan & Pesanan

Sebenarnya, Rakyat Malaysia perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat. Hal ini boleh dilakukan dengan mengamalkan pemakanan sihat mengikut piramid makanan dalam menu seharian. Sekiranya tidak risiko untuk menghidap pelbagai penyakit akan menjadi tinggi. Makanan seimbang dapat membantu kita hidup dengan lebih sihat.


Kementerian Kesihatan Malaysia sangat menekankan rakyat Malaysia supaya berhati-hati dalam pengambilan makanan. Ibu bapa juga perlu prihatin dengan makanan yang diberikan kepada anak mereka. Faktor makanan juga merupakan salah satu faktor perkembangan otak anak-anak.



sumber asal: SGO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan