Kemahiran pemikiran kritis merupakan salah satu
aspek tumpuan sejak tahun 90an lagi oleh sistem pendidikan di negara ini, di
mana Kementerian Pendidikan (KPM) telah menetapkan kemahiran berfikir secara
kritis supaya dijadikan sebagai sebahagian asas pemerolehan ilmu dan kemahiran
dalam mata pelajaran.
Selain itu, pemikiran kritis dan kemahiran
penyelesaian masalah juga merupakan salah satu elemen terkandung dalam
kemahiran abad ke-21 di mana era globalisasi negara di serata dunia memandang
berat terhadap bidang pendidikan yang memainkan peranan penting dalam
mencorakkan modal insan mempunyai pakej lengkap dengan mempunyai sahsiah tinggi
serta berkualiti. Pemikiran kritis didefinisikan sebagai membuat
pertimbangan dan penilaian kualiti sesuatu maklumat bertujuan untuk memutuskan
tindakan dan kepercayaan.
Oleh itu, Malaysia haruslah menyahut cabaran ini
untuk mengaplikasikan kemahiran abad ke-21 dalam sistem pendidikan. Terdapat banyak kajian membuktikan bahawa pemikiran
kritis pelajar dipengaruhi kualiti dan corak pengajaran pendidik. 7 langkah yang guru perlu tahu untuk menghasilkan
pelajar kritis:
1. Pelaksanaan pengajaran yang merangsang pemikiran
kritis memerlukan integrasi kemahiran berfikir ke dalam kandungan pelajaran,
penyoalan aras tinggi, cara respons dan permodelan oleh pendidik yang
mencambahkan potensi pemikiran pelajar.
2. Seorang pendidik hanya mampu mengendalikan
pengajaran berfikir dengan lebih berkesan sekiranya dia seorang yang kritis.
3. Pendidik perlu diasuh sebagai pemikir yang inovatif
untuk melahirkan pelajar kritis.
4. Pendidik perlu cenderung membuat refleksi kritis
ke atas maklumat yang diperoleh bagi menjadikannya seorang yang menguasai
secara mendalam konsep sesuatu ilmu itu.
5. Pemikiran kritis akan membentuk seorang pendidik
cemerlang.
6. Kaedah pengajaran perlu diubah, tidak boleh
dikendalikan bersifat dogmatik, iaitu bertumpu pada teks.
7. Elak guna kaedah pengajaran yang kurang
meningkatkan daya intelek pelajar.
Faktor Sosial
Seterusnya, faktor persekitaran sosial dianggap
penting sebagai pemangkin kepada daya berfikir individu. Nilai yang terbentuk
dalam persekitaran sosial mempengaruhi kebolehan individu berfikir. Dalam hal ini, ahli falsafah dalam pemikiran kritis
menjelaskan pemikiran kritis sesuai dibangunkan dalam konteks pembelajaran
sosial dengan mewujudkan komuniti berfikir. Justeru pembangunan kualiti pemikiran pendidik itu
dipengaruhi faktor personal dan faktor persekitaran.
Selain itu, pelajar juga perlu menukar persepsi
mereka, bahawa kecemerlangan akademik dan penganugerahan ijazah bukan penyebab
utama mencapai kecemerlangan, sebaliknya mereka perlu meningkatkan nilai
kemahiran serta modal insan. Kelemahan itu perlu diatasi segera bagi memastikan
graduan yang dikeluarkan institusi pendidikan di negara ini mempunyai nilai
idea baharu, tidak terkongkong dan luhur dalam pencarian ilmu serta dapat
membantu masyarakat dalam penjanaan negara pada masa depan.
Kajian tinjauan dijalankan Kementerian Sumber
Manusia pada 2005 telah mendapati faktor utama yang menjadi punca pengangguran
adalah kurang kemahiran komunikasi khususnya dalam kemahiran lisan dan
kemahiran pemikiran kritikal khususnya dalam penaakulan yang berkaitan
penyelesaian masalah.
Penting Pembudayaan Ilmu
Perhatikan bahawa tugas melahirkan pendidik yang
kritis bukan usaha yang mudah, malah memerlukan masa, tenaga dan iltizam serta
dukungan daripada persekitaran. Pelbagai pihak termasuk pihak kementerian dan
pendidik perlu berganding bahu untuk menggilap potensi ini dengan kaedah
membudayakan ilmu.
Hanya melalui pembudayaan ilmu, sikap kritis dan
penguasaan ilmu dapat diraih. Bagi menjamin inisiatif ini berterusan, pendidik
memerlukan sokongan persekitaran iaitu daripada pentadbir, rakan sekerja,
pelajar dan kemudahan yang lengkap.
Sekiranya suasana berfikir telah membudaya dari
dalam dan luar, Malaysia pasti berupaya melaksanakan pengajaran bercorakkan
pemikiran kritis dengan berkesan.
sumber asal: cikgushare.com
sumber asal: cikgushare.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan