MUAT TURUN SEMUA DOKUMEN BERKAITAN:
Pembangunan profesionalisme
keguruan merupakan keperluan dalam usaha memantapkan keupayaan Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan (PPP) melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan
dalam pelbagai peringkat kerjaya. KPM telah membangunkan Pelan Induk
Pembangunan Profesionalisme Keguruan (PIPPK) iaitu dokumen bagi membantu PPP
merancang pembangunan kerjaya dan pembangunan profesionalisme berterusan.
PIPPK menyediakan garis panduan
kepada PPP untuk meningkatkan kompetensi diri mengikut kecenderungan dan
keperluan demi mengekalkan prestasi kerja yang terbaik. Menerusi pelan ini,
profesion keguruan diharap dapat diperkasakan dan menjadikan kerjaya keguruan
sebagai kerjaya yang profesional dan menjadi kerjaya pilihan utama.
PIPPK ialah dokumen rujukan utama
dalam pelaksanaan pembangunan profesionalisme berterusan (PPB). Pelan PPB (Guru
dan Pemimpin Sekolah) yang diterbitkan oleh KPM pada tahun 2014 merupakan
dokumen pengoperasian pelaksanaan PPB yang mengandungi transformasi amalan dan
strategi pelaksanaan PPB bagi guru dan pemimpin sekolah. Buku PIPPK mengandungi
lima bab iaitu:
Bab 1 membincangkan kerjaya guru
sebagai kerjaya profesional yang menitikberatkan penguasaan PPP dari aspek
pengetahuan, kemahiran, dan nilai profesionalisme. Dalam proses pembangunan
kerjaya, PPP diberi sokongan untuk pembangunan diri dan berpeluang memilih
laluan kerjaya berdasarkan prestasi dan kompetensi. Bab ini juga membentangkan
Laluan Kerjaya Baharu untuk PPP yang merangkumi Pengajaran dan Pembelajaran
(PdP), Kepimpinan dan Kepakaran Pendidikan.
Bab 2 memaparkan Peta Laluan
Latihan (Training Road Map) yang perlu diikuti PPP pada setiap laluan dan gred
yang disandang. Peta ini dibangunkan berasaskan deskripsi tugas PPP dan
menetapkan cadangan aktiviti PPB yang dikategorikan kepada lima iaitu PPB Asas,
Pembangunan Kompetensi, Keperluan Dasar/Khusus, Pelengkap dan Elektif.
Bab 3 menjelaskan konsep
pembangunan kompetensi. PPP hendaklah kompeten dalam bidang tugas mereka. PPP
diwajibkan mengikuti aktiviti PPB bagi meningkatkan kompetensi agar tugas dan
tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan berkesan. Prestasi PPP diukur melalui
Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP). Hasil penilaian
ini menjadi asas dalam mengenal pasti keperluan mengikuti PPB bagi pembangunan
kerjaya PPP.
Bab 4 memperincikan pelaksanaan
PPB. Model PPB merupakan kerangka rujukan dalam pelaksanaan PPB. Aktiviti PPB
boleh dilaksanakan atas inisiatif kendiri, institusi dan Kementerian. Inisiatif
berasaskan kendiri akan dititikberatkan dan diutamakan menjelang Gelombang 3
pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Bab 5 menjelaskan tadbir urus
pelaksanaan PPB yang dilaksanakan pada peringkat KPM. Bab ini memperincikan
peranan penting Panel Pengurusan Sumber Manusia (PPSM) dan Jawatankuasa Induk
Pembangunan Staf (JIPS) dalam pelaksanaan PPB. Jawatankuasa ini betanggungjawab
untuk memastikan implementasi dasar-dasar latihan dapat dilaksanakan dengan
berkesan dan berjaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan