::SELAMAT DATANG KE PORTAL SEKOLAH KEBANGSAAN PANJI::

'Terima Kasih Cikgu'

19 Januari, 2017

Kebersihan Tandas Di sekolah


Wajibkan orientasi tandas sekolah

“PAPA, adik nak kencing.” “Pergilah kat tandas sekolah tu, papa tunggu.” “Tapi adik tak nak ken­cing kat tandas sekolah,” sambil tangannya kemas melekat pada hidung seolah-olah menahan bau yang busuk amat.

Penulis pasti ada dalam kalangan kita biasa mende­ngar dialog itu oleh anak-anak mereka yang bersekolah. Kebia­saannya kita hanya akan tersenyum dan membawa anak kita ke tempat lain, yang pastinya mempunyai tandas selesa untuk anak kita menyempurnakan hajat mereka yang tertangguh itu.

Tidak pernahkah kita terfikir apakah solusi yang sepatutnya? Berapa lamakah situasi sebegini akan terus terjadi? Adakah sepanjang persekolahan mereka, kita akan melabelkan tandas sebagai kawasan larangan yang haram untuk dijejaki?

Bagi penulis, jika sekolah, tempat di mana pendidikan disalurkan kepada anak-anak gagal untuk memainkan peranannya maka tidak hairanlah kita digelar manusia yang tidak bertamadun. Kita sering menyalahkan pihak lain dalam sesuatu isu termasuklah mengenai kebersihan tandas. Namun apakah yang kita lakukan mengenainya?

Tandas adalah tempat yang amat penting untuk setiap orang. Sekurang-kurangnya dua kali sehari pas­tinya kita akan singgah di kamar kecil ini namun sejauh manakah kita prihatin terhadap kebersihan tandas ini. Kebersihan sesebuah tandas itu adalah salah satu faktor bagi pengguna untuk menggunakan tandas tersebut.

Kebanyakan tandas awam di Malaysia mempunyai tahap kebersihan yang amat rendah walaupun pelbagai kempen telah dijalankan untuk meningkatkannya. Tetapi, adakah perkara tersebut berlaku disebabkan penjagaan yang sambil lewa daripada pihak yang sepatutnya ataupun hasil sikap pengguna itu sendiri?

Seperti yang diketahui, terdapat tukang cuci yang ditugaskan untuk membersihkan tandas dan mereka melakukan sedaya upaya untuk menjaga kebersihan tandas-tandas awam ini. Tetapi sebagai pengguna, kita sepatutnya memainkan peranan penting bagi mengekalkan kebersih­an tandas dengan mengamalkan etika yang betul semasa menggunakan tandas.

Sebagai contoh, pengguna boleh memastikan mereka telah menutup saluran air dengan betul agar tidak membazirkan air dan menyebabkan ‘banjir’ di dalam tandas. Selain itu, pembuangan sampah seperti tisu tandas dan tuala wanita di tempat-tempat yang disediakan juga pen­ting kerana perkara ini antara sebab utama tandas kotor. Semua ini boleh didedahkan ketika orientasi tandas pada pelajar tahun 1 ketika minggu pendaftaran pelajar.

Ibu bapa mahupun guru harus berhenti memberi alasan mudah, ada pekerja yang telah dibayar gaji untuk me­lakukan tugas tersebut.

Tandas yang kotor bukan sahaja memberi imej yang buruk terhadap sekolah tetapi juga boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan. Antara masalah yang timbul akibat penggunaan tandas yang kotor adalah pencemaran bau yang mengganggu kehidupan seharian masyarakat. Selain itu, keadaan itu juga boleh menimbulkan tekanan bagi seseorang. Tekanan yang dimaksudkan adalah dise­babkan oleh penahanan pembuangan sisa badan disebabkan tidak mahu menggunakan tandas yang kotor.

Dalam pada itu, tabiat membersihkan tangan selepas menggunakan tandas yang tidak sempurna juga mampu mengakibatkan masalah keracunan makanan berlaku di mana kuman-kuman yang berada pada permukaan ta­ngan akan beralih kepada makanan dan menjangkiti orang lain. Maka tak hairanlah kantin sekolah mencatatkan laporan keracunan makanan yang tinggi.

Maka sekolah harus proaktif dalam membudayakan kebersihan tandas sebagai tanggungjawab semua. Para pelajar juga haruslah dilatih daripada kecil supaya rajin membersihkan tandas sekolah, menghiasnya agar kelihatan cantik dan selesa dengan meletakkan bunga-bunga, dekorasi serta wangian. Ini bukan sahaja akan menjadikan tandas sebagai salah satu tempat utama untuk dibersihkan malah akan meningkatkan lagi kualiti kehidupan bagi penghuni sekolah tersebut.

Sikap ini membentuk diri para pelajar agar sentiasa menghargai kebersihan tandas walau di mana juga mereka berada dan terus menjadi amalan positif sehingga mereka dewasa.

Alangkah baiknya, jika rakyat negara ini mempunyai sikap seperti orang Jepun yang sangat berdisiplin dan pembersih. Sudah tentu memberikan keselesaan kepada semua orang untuk menggunakan tandas di tempat-tempat awam. Dan alangkah indahnya jika pelajar yang beragama Islam dapat menghayati sendiri ajaran yang Islam yang meletakkan taharah sebahagian daripada iman.

Tiada guna suatu kemajuan itu jika hanya infrastruktur sahaja yang kelas pertama tetapi minda, mentaliti dan akhlak masih kelas ketiga. Untuk membangunkan infrastruktur kelas pertama tidaklah sukar, namun hendak membangunkan minda, mentaliti dan akhlak kelas pertama tidaklah semudah membangunkan infrastruktur kelas pertama. Marilah kita mula melentur sikap anak-anak daripada rebung. Mulakannya dengan pendidikan di sekolah.


DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI AHMAD SABRI
Universiti Utara Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan