Ujian PISA adalah merupakan akronim kepada
Programme International Student Assessment yang diperkenalkan oleh OECD
(Organisation For Economic Co-operation and Development). Ujian ini diadakan 3
tahun sekali bermula pada tahun 2000, dan negara kita Malaysia mula
menyertainya pada tahun 2009.
PISA 2012 merupakan kajian ke-5 yang diadakan.
Ujian ini adalah bagi menguji tahap penguasaan remaja berusia 15 tahun terhadap
keupayaan membaca, Sains dan Matematik. Sebanyak 65 buah negara terlibat pada
Ujian PISA 2012, dengan hampir seramai 510 000 pelajar terlibat. Ujian
berlangsung selama 2 jam. Ujian terdiri daripada gabungan soalan terbuka
(open-ended) dan juga soalan pelbagai pilihan jawapan (multiple-choice).
Ada dua lagi ujian atau pun kajian yang juga
berkaitan dengan PISA, iaitu TIMSS dan PIRLS. TIMSS adalah singkatan kepada Trends in
International Mathematics and Science Study, dan PIRLS adalah singkatan kepada
Progress in International Reading Literacy Study. Boleh dikatakan bahawa Ujian
PISA adalah gabungan kepada dua ujian/kajian ini. Bezanya, TIMSS diadakan bagi
mengkaji penguasaan pelajar antarabangsa dalam subjek Matematik dan Sains
sahaja. Dan juga TIMSS dilaksanakan 4 tahun sekali.
Antara negara-negara yang sering mengungguli Ujian
PISA ini adalah Finland, Korea, Hong Kong, Jepun, Shanghai (China) serta
Singapura. Disebabkan itu jugalah negara-negara ini sering dijadikan rujukan
bagi sistem pendidikan antara yang terbaik di dunia, terutamanya sistem
pendidikan negara Finland. Ujian PISA yang terkini pada tahun 2012 juga
mendapati Shanghai (China), Hong Kong dan Singapura merupakan tiga negara yang
mendapat kedudukan tertinggi dalam ujian membaca, Sains dan Matematik. Manakala kedudukan Malaysia dalam Ujian PISA adalah
seperti berikut:
2009
Matematik - 57 (mata 404)
Sains - 53 (mata 422)
Membaca - 55 (mata 414)
2012
Matematik - 52 (mata 421)
Sains - 53 (mata 420)
Membaca - 59 (mata 398)
Jika diperhatikan daripada segi mata yang
diperolehi oleh pelajar dari Malaysia, jelas menunjukkan penurunan bagi subjek
Sains dan Membaca. Dikatakan ada 3 faktor yang menyumbang kepada
keputusan ini, iaitu sikap pelajar yang tidak menjawab dengan
bersungguh-sungguh, format soalan PISA yang berbeza daripada format soalan
peperiksaan Malaysia yang lebih ringkas dan keutamaan guru dalam menghabiskan
sukatan berbanding menerangkan konsep sebenar pengetahuan. Untuk itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah
merancang beberapa strategi bagi mengatasi masalah ini.
1. KSSR /
KSSM
Elemen baharu, iaitu inovasi dan kreativiti dengan
subjek keusahawanan dan teknologi maklumat komunikasi (ICT). KSSR (Kurikulum
Standard Sekolah Rendah) diperkenalkan pada tahun Januari 2011 dan akan diteruskan
dengan KSSM (Kurikulum Standard Sekolah Menengah) pada tahun 2017.
2. i-Think
Kerjasama antara KPM dengan Agensi Inovasi
Malaysia. Kaedah pembelajaran dengan menggunakan 8 Peta Pemikiran. Dirintis
pada tahun 2012 di 10 buah sekolah, dan dilaksanakan di seluruh Malaysia pada
2014.
3. Kajian
Susulan
KPM menjalankan kajian kes di sekolah yang mendapat
keputusan yang cemerlang pada Ujian PISA 2009. Hasil dapatan daripada kajian
kes tersebut akan dikongsikan sebagai amalan terbaik pengajaran.
4. PPPM
Hasil kajian PISA dan TIMSS juga menjadi input
utama dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Ini kerana
PISA dan TIMSS merupakan penandaaras kepada pencapaian pelajar seluruh dunia
dalam penguasaan Matematik, Sains dan Membaca.
Peperiksaan peringkat sekolah dan kebangsaan akan
diubahsuai dengan menambahkan bilangan soalan aras tinggi yang menggunakan
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
5. Task
Force TIMSS dan PISA
Pasukan khas ini ditubuhkan bagi memberi tumpuan
dalam meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid dan
guru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan