::SELAMAT DATANG KE PORTAL SEKOLAH KEBANGSAAN PANJI::

'Terima Kasih Cikgu'

21 Jun, 2016

Panduan Memohon Guru Cemerlang: Mengisi Borang Permohonan



1. Fahami jawatan Guru Cemerlang
Dalam kebanyakan kes, ramai rakan guru yang tersalah anggap mengenai jawatan Guru Cemerlang. Ramai yang menganggap Guru Cemerlang adalah guru yang SANGAT CEMERLANG; hebat akademik, hebat kokurikulum, pegang jawatan penting dalam HEM, dan serba serbi HEBAT!.


Sebenarnya, jawatan Guru Cemerlang adalah merujuk kepada guru-guru yang cemerlang dan menyerlah dalam mata pelajaran yang diajar ataupun di dalam bidang pengkhususan dengan tujuan untuk dijadikan role model, sumber inspirasi dan motivasi kepada guru lain untuk sama-sama bersaing meningkatkan lagi tahap pencapaian kualiti P&P di sekolah masing-masing.

Jadi, jika anda seorang guru yang memang CEMERLANG dalam subjek kepakaran anda, silalah mohon walaupun anda kurang sumbangan dalam bidang HEM dan Kokurikulum. Kerana yang akan diberi lebih penilaian adalah sumbangan anda pada subjek kepakaran anda!

p/s: Menurut kata-kata seorang penceramah Nazir, "Jika anda ahli sukan wakil Malaysia sekalipun, penilaian utama hanya akan dinilai pada sumbangan anda dalam bidang subjek yang dipohon!"


2. Pilih Subjek Kepakaran dengan tepat
Pemilihan subjek kepakaran juga merupakan sesuatu yang penting semasa membuat permohonan Guru Cemerlang. Ini kerana faktor seperti jumlah waktu mengajar dan juga tahun pengalaman mengajar subjek kepakaran memberikan markah yang berbeza-beza kepada guru yang memohon semasa penilaian. Rakan guru boleh rujuk jadual di bawah bagi pemilihan subjek kepakaran yang lebih tepat dan sesuai untuk anda.

Jika rakan guru masih ragu-ragu dan tidak pasti subjek mana yang menjadi pilihan, semaklah semula senarai tugas pada tahun-tahun lepas. Pilih subjek yang mana lebih banyak sumbangan/tugas/peranan. Pastikan juga subjek yang dipilih itu merupakan subjek yang telah anda ajar sekurang-kurangnya 3 tahun berturut-turut, terutamanya jika anda berpindah-pindah sekolah. Tidak menjadi masalah juga jika anda memilih subjek bukan major anda, selagi subjek yang dipohon telah diajar sekurang-kurangnya 3 tahun dan ke atas.

Kesilapan memilih subjek kepakaran, kadang-kadang mampu memberikan keputusan yang mengecewakan.


3. Isi Borang Permohonan dengan betul dan lengkap
Seterusnya, isilah borang permohonan anda dengan teliti, lengkap dan tepat. Kesilapan dan sikap ambil mudah semasa mengisi borang permohonan akan menyebabkan permohonan anda ditolak/kurang menyerlah.

Pastikan juga perkara-perkara yang dikehendaki berada dalam keadaan yang sedia dikemaskini. Sebagai contohnya:
a) Maklumat diri dan perkhidmatan (Tarikh lantik, sah dll)
b) Kenyataan Perkhidmatan (boleh rujuk dengan kerani sekolah)
c) Perisytiharan Harta (sahlaku dalam 5 tahun tanpa sebarang perubahan harta)
d) LNPT (3 tahun berturut-turut)
e) esei (cuba buat sendiri dan nyatakan hasrat anda dari hati dan naluri anda)
f) Senarai Tugas (senaraikan SEMUA bidang tugas/peranan/sumbangan anda dalam Akademik, HEM  dan Kokurikulum dengan lengkap)

Jika tidak pasti, bidang tugas tersebut perlu dimasukkan atau tidak dalam borang permohonan, masukkan saja kesemuanya. Penilai akan menilai boring dan memilih perkara yang akan diberi markah.

4. Fokus kepada subjek yang dipohon
Perhatian dan tumpuan utama haruslah diberi kepada subjek kepakaran yang dipohon. Nyatakan dengan selengkapnya tugas/peranan/sumbangan yang pernah anda buat untuk subjek atau pun bidang kepakaran anda itu.

Jika pernah anda adakan kelas tambahan / ceramah di luar sekolah, nyatakan dalam borang dan juga lampirkan bukti (dokumentasi/sijil/gambar) bagi mengukuhkan permohonan anda. Antara contoh bidang tugas/ sumbangan yang boleh anda masukkan:
a) Ketua Panitia
b) guru kelas tambahan
c) guru kelab / persatuan (subjek/bidang kepakaran)
d) penceramah
e) pemeriksa kertas soalan
f) penyelaras kem (subjek/bidang kepakaran)

Apa-apa yang dinyatakan perlulah lebih fokus kepada subjek kepakaran anda. Tak guna jika anda nyatakan berjela-jela bidang tugas anda di sekolah, namun jika diteliti sangat sedikit sahaja sumbangan dalam subjek kepakaran! Sekali lagi saya ingatkan, penekanan haruslah diberikan kepada sumbangan anda dalam subjek kepakaran, bukan lah bidang lain!


5. Bahagikan tugas mengikut bidang
Bagi memudahkan urusan anda untuk menguruskan data dan bahan yang bertimbun-timbun untuk 3+1 tahun, maka lebih baik jika anda bahagikan tugas tersebut kepada bidang masing-masing. Bahagikan tugas mengikut bidang Akademik, HEM dan Kokurikulum.

Sebagai contoh:
2010 - Akademik - Penyelaras Kem Sains PMR
2010 - Akademik - Penyelaras Sains Tingkatan 3
2010 - HEM - Penyelaras Disiplin  Tingkatan 1
2010 - KoK - Jurulatih Sofbol Daerah Sibu
2011 - Akademik - Ketua Panitia Sains
2011 - Akademik - Penceramah Bengkel Sains
2011 - HEM - Penyelaras Disiplin  Tingkatan 1
2011 - KoK - Jurulatih Sofbol Daerah Sibu
2012 - Akademik - Ketua Panitia Sains
2012 - Akademik - Penyelaras Sains Tingkatan 1
2012 - HEM - Penyelaras Disiplin  Tingkatan 1
2012 - KoK - Jurulatih Sofbol Negeri Sarawak

Penilaian pada tapisan pertama akan dibuat dengan menilai Borang Permohonan.


6. Kumpulkan bahan
Semasa mengisi Borang Permohonan, sebaiknya anda mulakan dengan mengumpul semua bahan-bahan anda terlebih dahulu. Kumpulkan semua senarai tugas anda, inovasi, ABM, kajian tindakan, penulisan dan pelbagai lagi perkara yang berkaitan agar memudahkan anda untuk menyiapkan borang permohonan dengan lengkap.

Jika anda tak ingat senarai tugas bagi 3 tahun kebelakang, boleh lah rujuk semula dengan Ketua Jabatan anda agar meminjam semula Borang LNPT yang diisi pada setiap tahun. Ada baiknya, jika anda sendiri yang menyimpan segala maklumat tersebut dalam bentuk softcopy sebagai rujukan di masa depan. Juga dapatkan semula Buku Rekod Mengajar anda pada tahun-tahun sebelumnya bagi mendapatkan semua Jadual Waktu.

Selain daripada memudahkan anda untuk mengisi Borang permohonan, sekurang-kurangnya anda kini sudah melakukan sedikit persiapan awal dalam mengumpulkan bahan untuk dikemaskini dan bersedia untuk dicerap oleh Nazir.


7. Fokus kepada Kajian Tindakan dan Inovasi
Dua perkara yang perlu diberi perhatian pada era sekarang jika anda memohon Guru Cemerlang adalah Kajian Tindakan dan juga Inovasi. Jika pada masa sekarang anda tidak mempunyai sebarang Kajian Tindakan dan Inovasi, bermakna anda adalah guru yang tidak mengikuti perkembangan semasa tentang apa yang berlaku dalam pendidikan di Malaysia!

Kajian Tindakan adalah satu kajian mengenai sesuatu permasalahan p&p yang dijalankan oleh seseorang guru dengan tujuan mengenalpasti kaedah atau teknik yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut. Sebagai contoh, dalam pengajaran kita dengan menggunakan kaedah A, pelajar tidak memahami apa yang kita ajar. Lantas kita mencuba Kaedah B dan C, dan melihat hasilnya. Hasil dapatan kita dikongsi dengan rakan-rakan guru yang lain.

Inovasi pula merupakan perkara baru yang kita hasilkan yang akan memudahkan pengajaran dan pengurusan kita. Penghasilan boleh datang dalam bentuk alat bantu mengajar, teknik atau kaedah mengajar dan borang pengurusan. Contoh lain inovasi yang dapat dilakukan adalah blog, video, dan animasi.


8. Tonjolkan kelebihan diri
Semasa mengisi Borang Permohonan juga, nyatakan kesemua bidang tugas dan sumbangan dalam semua perkara, terutamanya subjek kepakaran. Seperti yang saya katakan di atas, jika tidak pasti, masukkan saja kesemua sumbangan mengikut bidang masing-masing. Penilai akan memilih yang terbaik.

Menonjolkan kelebihan yang ada pada diri bukanlah bererti meninggikan diri, sebaliknya memastikan bakat dan kelebihan itu disedari supaya dapat digunakan lagi dengan cara yang lebih baik dan bermanfaat.


9. Tanya guru yang berpengalaman
Jangan lupa juga untuk bertanya dengan guru-guru berpengalaman yang telah memohon Guru Cemerlang pada tahun-tahun sebelumnya. Sama ada mereka berjaya atau pun tidak dalam permohonan mereka, saya pasti akan ada sedikit tips dan nasihat yang boleh kita ambil iktibar dan pengajaran.

Nasihat dan juga tips daripada mereka mungkin boleh membantu untuk mengisi borang permohonan dengan lebih baik. Mereka tidak akan lokek untuk berkongsi rahsia kejayaan mereka!


10. Sedia untuk berdepan dengan haters
Yang ini tak dapat nak di ketepikan daripada masuk dalam panduan dan tips. Ini kerana sebaik mana kita pun, pasti akan ada orang sekeliling yang kurang senang dengan setiap perbuatan kita. Tambah lagi kalau jahat kanJadi, sentiasa lah bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan dijalankan oleh para haters. Ianya boleh datang dalam bentuk fitnah, cakap-cakap di belakang, perli memerli, bergurau terlebih sudah, dan segala bentuk kejahatan lagi lah.

Pasti akan terganggu kan? Rasa kurang motivasi?

Nasihat, TAK PAYAH PEDULIKAN MEREKA! Anggaplah sebagai nyamuk yang datang terbang kat tepi telinga. Dah habis berbunyi, pergilah ia. Yang penting kita sabar, tekun dan istiqamah dengan apa yang kita buat. Hanya kita dan Allah saja yang tahu apa yang ada dalam hati dan yang kita niatkan. Selagi niat kita baik, inshaAllah, akan sentiasa ada pertolongan dari Yang Maha Kuasa.

Masa yang ada perlu digunakan dengan sebaik mungkin untuk menyiapkan lebih banyak tugasan dan cabaran yang menanti kita. Bukan untuk melayan kerenah para haters!


11. Motivasi Diri Yang Betul
Harus diingat, sentiasa tanamkan dalam diri semasa memohon jawatan Guru Cemerlang ini bukan lah kerana niat untuk meninggi diri dan mengejar duit dan pangkat. Sebaliknya tanamkan diri dengan motivasi untuk memperbaiki diri agar menjadi pendidik yang lebih berjaya, menambahkan lagi ilmu pengetahuan dan pengalaman, serta niat mendapatkan lebih banyak peluang bagi mencurahkan lebih banyak ilmu dengan orang ramai.

InshaAllah dengan niat dan iltizam yang betul, semoga kita beroleh kejayaan! Sekurang-kurangnya tidak lah kita kecewa menonggeng sangat kalau-kalau permohonan kita tidak berjaya nanti..


Berusahalah yang sebaik mungkin. InshaAllah dengan kesungguhan, semua orang pasti beroleh kejayaan. Ramai lagi guru-guru HEBAT di luar sana. Cubalah peluang ini bagi membuka peluang lebih besar kepada untuk mencurahkan ilmu, inshaAllah! Semoga berjaya!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan