JOHOR BAHRU, 16 Mei (Bernama) -- Kementerian
Pendidikan diminta untuk terus mengambil berat terhadap guru yang memohon untuk
bertukar tempat mengajar supaya berdekatan dengan keluarga mereka, kata Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata beliau memahami
keluh kesah guru yang terpaksa berjauhan dengan keluarga kerana ia bukan sahaja
menjejaskan emosi bahkan produktiviti kerjaya mereka.
"Bagaimana produktiviti akan meningkat kalau
kita terpisah emosi dan minda daripada keluarga atau orang yang kita kasihi.
"Kepedulian terhadap keperluan guru-guru perlu
difahami dan saya yakin, Kementerian Pendidikan dan Menterinya ikhlas terhadap
perkara ini," katanya berucap merasmikan Perayaan Hari Guru Peringkat
Kebangsaan Ke-46 2017 di Kompleks Sukan Educity, di sini Selasa.
Ahmad Zahid berkata terdapat 22,000 guru 'duka
lara' memohon untuk berpindah tempat mengajar dengan 9,000 orang daripadanya
sudah 'dicantumkan' semula dengan keluarga mereka setakat ini.
Selain masalah guru 'duka lara', beliau berkata
kebajikan guru-guru berumur 40 tahun ke bawah juga merupakan perkara yang perlu
diambil peduli.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, sebagai seorang
yang pernah menjadi guru kelas tambahan dan kelas malam serta merupakan anak
guru, beliau amat memahami tugas golongan tersebut.
"Kita harus melihat golongan 48.7 peratus guru
di bawah 40 tahun ini. Perasaan mereka harus diambil peduli, minda mereka harus
difahami, kementerian harus buka mata," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyokong
Kementerian Pendidikan yang meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
mempercepatkan kelulusan menaikkan gred jawatan sebahagian Pengarah Pendidikan
Negeri daripada Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C ke JUSA B.
Menurut Ahmad Zahid, keprihatinan sama juga perlu
diberikan kepada Pegawai Pendidikan Daerah, Pengetua dan Guru Besar serta Guru
Penolong Kanan.
Pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid turut
menyampaikan Anugerah Ikon Guru Inovatif Kebangsaan kepada guru Sekolah
Menengah Kebangsaan Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur, Zainuddin Zakaria.
Bekas Pengetua Sekolah Menengah Agama Persekutuan
Labu, Negeri Sembilan, Khuzaimah Sulaiman pula dianugerahkan Tokoh Guru
Kebangsaan 2017 manakala bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Sufa'at
Tumin sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan.
--BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan