::SELAMAT DATANG KE PORTAL SEKOLAH KEBANGSAAN PANJI::

'Terima Kasih Cikgu'

14 April, 2017

Jenis-jenis Sekolah Dalam Pendidikan di Malaysia

Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan


Bahasa Malaysia digunakan sebagai bahasa pengantar di Sekolah Kebangsaan. Sekolah Kebangsaan merupakan salah satu jenis sekolah rendah manakala Sekolah Menengah Kebangsaan adalah salah satu jenis sekolah menengah.

Sekolah Jenis Kebangsaan



Bahasa Cina atau Bahasa Tamil digunakan sebagai bahasa pengantar. Sekolah Jenis Kebangsaan merupakan salah satu jenis sekolah rendah. Dari tahun 1995 hingga 2000, pengagihan Rancangan Malaysia Ketujuh membahagikan 96.5% kepada Sekolah Kebangsaan yang hanya mempunyai 75% daripada pelajar sekolah rendah. Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (21% daripada pelajar sekolah rendah) mendapat 2.4% daripada pengagihan manakala Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (3.6% daripada pelajar sekolah rendah) mendapat 1% daripada pengagihan.


Sekolah Wawasan


Beberapa sekolah awam berkongsi kemudahan yang sama di dalam sebuah sekolah yang dikenali sebagai Sekolah Wawasan. Penubuhan Sekolah Wawasan adalah untuk menggalakkan interaksi yang lebih rapat antara kaum. Akan tetapi, kebanyakan orang Cina dan orang India membantah Sekolah Wawasan kerana mereka percaya bahawa Sekolah Wawasan akan mengehadkan penggunaan bahasa ibunda di sekolah.


Sekolah Kluster


Sekolah kluster satu jenama yang diberi kepada sekolah yang dikenal pasti cemerlang dalam klusternya daripada aspek pengurusan sekolah dan kemenjadian murid. Pewujudan sekolah kluster bertujuan melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia dan membangun sekolah yang boleh dicontohi oleh sekolah dalam kluster yang sama dan sekolah lain di luar klusternya.


Sekolah Premier


Sekolah dalam kelompok sekolah kluster yang berusia lebih 100 tahun dan cemerlang dalam bidang akademik serta kokurikulum. Mengiktiraf sekoalh-sekolah yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum, serta menghasilkan ramai pemimpin, ahli koporat, profesional dan ahli sukan.


Sekolah Agama Islam

Sekolah pondok, madrasah dan sekolah agama Islam merupakan sekolah yang terawal wujud di Malaysia. Kewujudan sekolah-sekolah pondok, madrasah dan sekolah agama Islam banyak membantu dalam membina sahsiah pelajar melalui penerapan pendidikan keagamaan seterusnya membina peradaban. Peningkatan jumlah sekolah-sekolah ini menandakan semakin ramai rakyat Malaysia menghantar anak-anak mereka belajar tentang agama dan mahukan pendidikan yang berkualiti. Hal yang demikian kerana rata-rata, terutama Sekolah Kebangsaan (Agama) mengambil tempat dalam pencapaian yang memberangsangkan di Malaysia.

1. SMKA - Sekolah Menengah Kebangsaan Agama


2. SABK - Sekolah Agama Bantuan Kerajaan


Sekolah pondok, madrasah dan sekolah agama Islam menawarkan dari peringkat rendah sehingga ke peringkat menengah dan kini telahpun wujud kolej-kolej dan Universiti yang mempunyai hala tuju yang sama seperti sekolah pondok, madrasah dan sekolah agama Islam. Keputusan pelajaran di sekolah-sekolah ini diterima oleh kebanyakan universiti di Malaysia dengan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM),dan ada di antara pelajar ini melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti Jordan, Yaman, Arab Saudi atau Mesir.


Sekolah Mubaligh


Terdapat juga beberapa Sekolah Kebangsaan Methodist, Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, Sekolah Kebangsaan La Salle, Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Sekolah Kebangsaan Convent, Sekolah Menengah Kebangsaan Convent dan banyak lagi sekolah mubaligh Kristian.


Sekolah Bestari


Sekolah bestari merupakan satu konsep sekolah yang menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah di samping memastikan semua pelajar tanpa mengira latar belakang mencapai potensi sepenuhnya dalam cara yang paling sesuai mengikut kadar dan gaya pembelajaran yang berlainan.


Kolej Vokasional / Sekolah Menengah Teknik / Vokasional


Sekolah Menengah Teknik dan vokasional memberi peluang kepada murid yang mempunyai kecenderungan dalam pendidikan sains dan teknologi untuk memenuhi tenaga kerja dalam bidang industri Negara. Kementerian Pelajaran Malaysia menawarkan program-program yang membolehkan murid berpotensi menjadi separa profesional atau profesional dalam pelbagai bidang teknikal dan kejuruteraan.


Sekolah Conforming


Sekolah conforming (CF) juga dikenali sebagai SMJK (Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan). Ia diklasifikasi sebagai sekolah bantuan kerajaan. Kerajaan memberikan gaji kakitangan sekolah, memberi sokongan dan sekolah adalah dalam pentadbiran kerajaan. Sekolah conforming juga ialah hak milik kerajaan.


Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)


Sekolah Berprestasi tinggi ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti yang tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan. Bertindak sebagai penanda aras dalam soal kecemerlangan pendidikan, supaya menjadi contoh dan teladan kepada semua sekolah di negara ini.


Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)


Sekolah berasrama penuh yang dibina oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai satu usaha untuk mencapai matlamat MARA dalam bidang latihan dan pendidikan di kalangan Bumiputera.


Sekolah Berasrama Penuh (SBP)


Sekolah menengah perdana yang dikhaskan untuk memberi peluang kepada pelajar bumiputera di luar bandar yang memperolehi keputusan cemerlang di dalam UPSR. Namun kini, semua sekolah berasrama penuh adalah sama dan terbuka kepada semua warganegara Malaysia.


Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI)


SBPI hanya menetapkan satu aliran pengajian di sesebuah sekolahnya. Melalui konsep SBPI ini, ia memberi peluang kepada para pelajar untuk memilih aliran pengajian yang diminati sama ada aliran Sains Tulen, Teknikal atau Agama di dalam satu sekolah. SBPI peringkat menengah atas menawarkan konsep penggabungan tiga aliran pengajian di dalam satu sekolah meliputi aliran Sains Tulen, aliran Teknikal dan aliran Sains Tulen Agama. Di peringkat menengah rendah pula, para pelajar dikehendaki mengambil kesemua mata pelajaran teras termasuk Bahasa Arab Komunikasi. Para pelajar juga dikehendaki memilih mata pelajaran bahasa asing sama ada Bahasa Jepun, Bahasa Perancis, Bahasa Jerman dan Bahasa Mandarin.


Sekolah Seni


Sebuah institusi pendidikan formal satu sesi yang menyediakan kemudahan menggilap dan menggarap potensi dan bakat diri generasi murid untuk menceburi aktiviti kesenian dan kebudayaan tanah air secara aktif dan kreatif.


Sekolah Sukan


Sekolah Sukan Malaysia ialah sekolah untuk mengumpul atlet murid yang berpotensi supaya bakat cemerlang sukan dan akademik mereka dapat dipupuk serta dipertingkatkan di bawah bimbingan jurulatih yang berdedikasi serta guru-guru akademik yang terpilih.


Sekolah Wawasan


Beberapa sekolah awam berkongsi kemudahan yang sama di dalam sebuah sekolah yang dikenali sebagai Sekolah Wawasan. Penubuhan Sekolah Wawasan adalah untuk menggalakkan interaksi yang lebih rapat antara kaum.


Sekolah Amanah


SEKOLAH 'separa korporat' akan menjadi kenyataan apabila pihak korporat dibenarkan terlibat secara langsung mengangkat status quo sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan - sama ada menengah atau rendah - di bawah inisiatif Sekolah Amanah mulai tahun depan.


Sekolah Pendidikan Khas


Sekolah Khas bagi murid bermasalah penglihatan dan bermasalah pendengaran. Program Pendidikan Khas Integrasi disediakan untuk murid-murid berkeperluan khas bermasalah pembelajaran, bermasalah pendengaran dan bermasalah penglihatan. la diwujudkan di sekolah harian biasa rendah dan menengah dan sekolah menengah teknik/vokasional yang menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran secara pengasingan dan separa inklusif.


Sekolah Transformasi


Mesyuarat Majlis Ekonomi pada 19 Februari 2015 telah meluluskan cadangan Kementrian Pendidikan Malaysia untuk melaksanakan Program Sekolah Transformasi (PreSTasi) di 100 buah sekolah menengah dan rendah di seluruh negara.

Program Sekolah Transformasi (PreSTasi) ini merupakan replika Sekolah Amanah (dijalankan oleh LeapEd : anak syarikat Yayasan Amanah).

Objektif Sekolah Transformasi ialah :
1. Mengaplikasikan konsep dan amalan terbaik sekolah Amanah di sekolah harian terpilih dengan kos pengoperasian yang lebih rendah.

2. Membangunkan kepakaran tempatan melalui pendekatan latihan dan bimbingan yang berstruktur kepada Pembimbing Kepimpinan (PK) dan Pembimbing Pedagogi serta pemimpin sekolah tarnsformasi. pembiayaan ditanggung sepenuhnya oleh KPM




sumber asal: cikgushare.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan