Masyarakat kita adalah masyarakat yang paling
pantas sekali respon jika terdapat kesalahan guru terhadap anak muridnya. Tetapi
bagaimanakah dengan kesalahan ibu bapa, terhadap anaknya sendiri?
Za’ba, dalam Mencapai Keluhuran Budi Bab 5, Ibu
Bapa – Guru Yang Pertama menulis tentang ‘kurang ajar’:
“Kita sangat marah jika dikata orang diri kita atau
anak kita ‘kurang ajar’ kerana ‘kurang ajar’ itu bermakna bahawa emak bapa kita
di rumah tidak cukup atau tidak tahu mengajar kita aturan adab yang
halus-halus…”
“Padahal yang sebenarnya semua sifat-sifat perangai
yang kekurangan dan rendah dan hina pada diri kita dan anak-anak kita itu ialah
boleh disusun asalnya tersebab daripada ‘kurang ajar’ belaka. Sama ada kurang
ajar oleh diri kita sendiri atau kurang ajar oleh emak bapa di rumah masa kita
kecil-kecil.”
Kemudian Za’ba menyambung:
“Rumah itulah sekolah yang pertama kepada anak-anak
itu bagi pelajaran bagaimana melakukan dirinya dalam kehidupan dunia ini; dan
ibu bapa itulah guru sekolahnya yang awal pertama sekali.”
“Jikalau sekiranya asuhan dan didikan perangai yang
didapatinya di rumah itu tiada senonoh atau tiada baik, maka itulah yang akan
menjadikan dia ‘kurang ajar’, kurang amanah, makan suap dan sebagainya apabila
ia telah besar kelak.”
Za’ba memberi contoh:
“Misalnya jika di sekolah guru-gurunya mengajar
suruh bersih tetapi di rumahnya sentiasa kotor, ibu bapanya sendiri tiada
bersih, suka buang air besar di parit atau di longkang-longkang sahaja
umpamanya, barang di rumah bersepah-sepah tiada aturan, kain-kain tersepah di
sana tersangkut di sini, kencing budak kecil berlelehan di lantai – maka
betapakah dapat dipersetujukan di antara dua macam sekolah itu?”
Mudahnya, 3 poin penting Za’ba dalam bab ini ialah:
1. Kalau anak kurang ajar, maknanya ibu bapa yang
tak tahu mengajar anak (dalam bahasa mudah, ibu bapalah yang kurang ajar dulu).
2. Rumah ialah sekolah pertama anak, ibu bapa ialah
guru sekolah anak yang terawal sekali.
3. Kalau rumah kau pun kain bersepah, janganlah
gedik bila anak kena tampar, nak saman cikgu. Lipat baju tu semua dulu kay?
Jarang sekali kita, sebagai ibu bapa sedar bahawa
salah satu kesalahan kita terhadap anak-anak ialah – melepaskan tanggungjawab
mengajar anak kepada guru di sekolah formal.
Kerana kita terlalu fokus kepada tanggungjawab guru
– yang kononnya ditugaskan untuk mendidik anak kita. Padahal dalam masa yang
sama, tak sedar kita juga sebagai ibu dan bapa – punya tanggungjawab yang lebih
besar kerana, anak itu ialah anak yang kita sama-sama lahir dan besarkan.
Begitulah Za’ba mengingatkan kita entah berapa
puluh tahun yang lalu dalam karangannya. Terpulanglah kepada kita untuk
mengambil manfaat dan mula lipat baju sekarang, atau buat selamba badak dan
terus bash cikgu di Fesbuk.
ZF Zamir
Gerakan Hormati Guru di Fesbuk & Gerakan
Anti-Rumah Bersepah
Sumber: The Vocket
Tiada ulasan:
Catat Ulasan