::SELAMAT DATANG KE PORTAL SEKOLAH KEBANGSAAN PANJI::

'Terima Kasih Cikgu'

11 Oktober, 2016

Peperiksaan Bukanlah Penentu Kejayaan Hidup



Putrajaya: Pencapaian peperiksaan bukanlah penentu kejayaan hidup seseorang, sebaliknya potensi dan bakat setiap pelajar perlu digilap dengan kemahiran dan nilai untuk membolehkan mereka bersaing pada abad ke-21.

Selaras dengan hasrat itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti melalui transformasi pendidikan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk meletakkan negara antara satu pertiga teratas sistem pendidikan terbaik di dunia.

Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk P Kamalanathan berkata, kementerian menerajui perubahan untuk menganjak paradigma masyarakat Malaysia daripada terlalu berfokus kepada peperiksaan kepada satu sistem pendidikan bersepadu membabitkan segenap lapisan masyarakat.

“Peperiksaan bukanlah penentu segalanya, ia adalah langkah pertama ke arah pembentukan sahsiah dan jati diri anak-anak kita sebagai warga yang dapat menyumbang kepada negara tercinta ini.

“Justeru, pelajar perlu dibangunkan secara holistik bagi menyediakan mereka laluan masa depan yang gemilang.

“Berikan mereka peluang untuk bersinar gemilang mengikut kecenderungan dan bakat yang ada pada mereka,” katanya.

Menurutnya, perubahan landskap pendidikan tinggi dan ekonomi juga menuntut generasi baru menerajui kepimpinan masa depan.

“Dengan perkembangan teknologi pesat yang mempengaruhi kehidupan hari ini, kita perlu memikirkan kemahiran dan nilai yang harus dimiliki oleh pelajar kita yang bakal mengharungi cabaran masa depan yang kita tidak dapat bayangkan.

“Usaha ini selaras dengan Enam Aspirasi Murid yang perlu diterapkan kepada pelajar kita iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran dwibahasa, kemahiran memimpin, etika dan kerohanian serta identiti nasional supaya seimbang ilmu dan akhlak mereka,” katanya.


Katanya, penerapan aspirasi itu menyumbang kepada pembangunan set pengetahuan dan kemahiran yang dikenal pasti sebagai kemahiran abad ke-21 di peringkat global.

“Era pembelajaran secara hafalan sudah berlalu kerana ilmu pengetahuan berada di hujung jari, justeru, apa yang diperlukan anak-anak kita ialah bagaimana untuk menggunakan ilmu ini untuk pembangunan sahsiah mereka.

“Pada abad ke-21, kemahiran yang perlu ada untuk anak-anak kita berjaya adalah keupayaan mereka bekerja secara berpasukan dan kolaboratif, kreatif dan imaginatif, berfikiran kritis dan mampu untuk menyelesaikan masalah,” katanya.

Beliau berkata, sistem pendidikan di Malaysia juga terus berusaha memastikan setiap warganegara mendapat peluang pendidikan sesuai di Malaysia iaitu sejak lahir hingga ke alam kerjaya.

“Usaha itu menuntut keperluan melakukan beberapa anjakan dalam struktur sistem pendidikan termasuk memastikan setiap warganegara di negara ini melalui tempoh pembelajaran 12 tahun bermula pra-sekolah hingga tamat tingkatan lima.

“Kementerian juga membangunkan sistem pendidikan yang luwes (mudah disesuaikan) dalam menyediakan laluan pendidikan bersesuaian dengan bakat, minat dan gaya pembelajaran pelajar.

“Kita menjangkakan sistem pendidikan Malaysia akan berubah daripada pembelajaran sekolah kepada suatu sistem pembelajaran yang mengupayakan pembabitan ibu bapa dan komuniti supaya setiap pelajar berpotensi menikmati persekitaran pembelajaran yang paling sesuai dan berkesan,” katanya.

Menurutnya, peranan guru juga sudah berubah daripada menyampaikan ilmu kepada memudah cara proses pembelajaran dengan pembabitan aktif murid secara berkumpulan.

“Guru kini menggalakkan pelajar untuk berusaha mencari maklumat di luar bilik darjah melalui pelbagai sumber dan medium.

“Kenal pasti bakat dan kebolehan mereka dan bagaimana ia boleh dipupuk supaya dapat menjadi rakyat yang dapat menyumbang kepada negara.

“Guru juga lebih bersifat terbuka dalam bekerjasama dengan ibu bapa kerana mereka sedar bahawa keberhasilan pelajar memerlukan kerjasama kolektif daripada semua pihak,” katanya.

Katanya, kerajaan juga memberi ruang kepada mereka yang berkemahiran memiliki ijazah, ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang masing-masing melalui Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) di bawah institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara.

“Bekerja tidak bermakna peluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi berhenti di situ.

“Kerajaan sangat menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat yang boleh diperolehi pada bila-bila masa dan di mana saja secara bersemuka atau dalam talian,” katanya.


Sumber : Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan