Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman membacakan Pemasyhuran
Malaysia di Stadium Merdeka pada pagi 16 September 1963. Berikut adalah teks
pemasyhuran yang dibaca beliau:
Pemasyhuran
Malaysia
Dengan nama Allah Yang Maha Murah
lagi Maha Mengasihani. Segala puji-pujian bagi Allah Tuhan seru sekalian alam
dan selawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad dan
bagi sekalian keluarga serta sahabat-sahabatnya.
Bahawasanya oleh kerana suatu
Perjanjian yang diperbuat pada Sembilan hari bulan Julai tahun Seribu Sembilan
Ratus Enam Puluh Tiga antara Persekutuan Tanah Melayu, United
Kingdom, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura maka
telah dipersetujui bahawa hendaklah disekutukan Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan
Negeri Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Pahang,
Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri
Sembilan, Negeri Kelantan,
Negeri Selangor, Negeri Perak,
Negeri Perlis,
Negeri Pulau Pinang dan Negeri Melaka dan
bahawa Persekutuan itu hendaklah dinamakan “Malaysia”.
Dan bahawasanya oleh kerana
pihak-pihak dalam Perjanjian yang tersebut telah bersetuju bahawa mulai
daripada penubuhan Malaysia maka Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri
Singapura hendaklah tamat daripada menjadi jajahan takluk Duli Yang Maha Mulia
Baginda Queen dan Duli Yang Maha Mulia Baginda
Queen tiada lagi mempunyai kedaulatan dan kuasa dalam ketiga-tiga buah Negeri
itu;
Dan bahawasanya oleh kerana telah
dimasyhurkan suatu Perlembagaan bagi Malaysia yang akan menjadi kanun yang
muktmmad didalamnya;
Dan bahawasanya oleh kerana
Perlembagaan yang tersebut itu telah diadakan syarat bagi menjaga keselamatan
hak-hak dan keutamaan-keutamaan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja serta
hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan bagi mengekalkan keamanan dan
kemesraan di dalam Malaysia sebagai Kerajaan yang mempunyai Raja yang
berperlembagaan dan yang berdasarkan demokrasi cara berparlimen;
Dan bahawasanya oleh kerana Perlembagaan
yang tersebut itu telah disahkan oleh suatu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen Persekutuan
Tanah Melayu dan Parlimen United Kingdom maka telah berjalanlah kuatkuasa Perlembagaan
itu pada Enam Belas hari bulan September tahun Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh
Tiga;
Maka dengan nama Allah Yang Maha
Murah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni
Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri Malaysia dengan
persetujuan dan perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Yang Terutama Yang
di-Pertuan Negeri Singapura, Yang Terutama Yang di-Pertua Negara Sabah dan Yang
Terutama Gabenor Negeri Sarawak dengan ini mengistihar dan memasyhurkan bagi
pihak umat Malaysia bahawa mulai daripada Enam Belas hari bulan September tahun
Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga bersamaan dengan Dua Puluh Lapan hari
bulan Rabiul Akhir tahun Hijrah Seribu Tiga
Ratus Lapan Puluh Tiga, Malaysia yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri
Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan,
Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pulau Pinang, Negeri
Melaka, Negeri Singapura, Negeri Sabah dan Negeri Sarawak dengan izin dan
kehendak Allah Rabbul–Alamin akan kekal menjadi sebuah Negara demokrasi yang
merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan sentiasa
mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan
keamanan di antara segala bangsa di dunia ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan