::SELAMAT DATANG KE PORTAL SEKOLAH KEBANGSAAN PANJI::

'Terima Kasih Cikgu'

27 Ogos, 2016

Aktiviti Menarik Sepanjang Bulan Kebangsaan



Kemeriahan sambutan Bulan Kebangsaan di sekolah, haruslah diserikan dengan mengadakan pelbagai aktiviti yang menarik dan berunsurkan patriotik. Semangat kecintaan terhadap negara secara tak langsung dapat diserapkan kepada anak pelajar melalui program-program seumpama ini. Jom kita tinjau apa idea aktiviti menarik yang boleh dijalankan sepanjang Bulan Kebangsaan.



1. Kayuhan Merdeka
Bagi sekolah yang mempunyai ramai bilangan pelajar yang datang ke sekolah dengan menaiki basikal, maka aktiviti ini memang terbaik jika dijalankan. Tak perlu sehingga ke jalanraya utama untuk berkayuh jika bimbangkan keselamatan pelajar. Cukuplah sekadar kayuhan dalam kawasan sekolah dengan membaca bendera Malaysia. Jangan lupa, satu juga basikal untuk Pengetua atau Guru Besar!



2. Larian Merdeka
Program seumpama ini sebenarnya boleh dijalankan dalam skala yang besar. Iaitu pihak sekolah boleh melibatkan semua warga sekolah bagi tujuan Larian Sempena Kemerdekaan. Senang kan? Cuma tetapkan hari, kumpulkan warga sekolah dan sila lah berlari. Ini juga antara aktiviti yang senang dikawal.



3. Konvoi Merdeka
Bagi sekolah dengan bilangan pelajar ke sekolah dengan menaiki motosikal yang ramai, maka mungkin anda boleh cuba aktiviti ini. Iaitu Konvoi Merdeka. Kumpulkan bilangan motosikal atau kereta yang mencukupi, hiaskan dengan bendera Malaysia, dan kemudiannya mulakan konvoi anda. Boleh berkonvoi jauh ke kawasan menarik di sekitar tempat anda atau cukup berkonvoi dari luar pagar sekolah ke dalam  kawasan sekolah sebagai simbolik upacara penyerahan bendera kepada Pengetua.



4. Tayangan Filem Merdeka
Kadang-kadang atas sebab beberapa faktor, pelajar sekarang jarang diberi peluang menonton cerita keperwiraan yang menjadi idola kita pada suatu hari dulu. Watak-watak dalam filem "Sarjan Hasan", "Leftenan Adnan" dan "Hati Malaya" sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada para pelajar dalam menghayati erti perjuangan yang sebenar. Secara tak langsung juga, dapat mereka belajar pasal sejarah dahulu kala.



5. Ceramah Tokoh
Bagi sekolah yang berada di tempat bersejarah atau pun mengenali tokoh-tokoh yang pernah terlibat mengusir penjajah dari bumi Malaysia ini, maka anda boleh jemput mereka untuk berkongsikan pengalaman dan kisah menarik mereka. Mendengar daripada orang yang mengalaminya sendiri, tentu memberi lebih banyak kesan kepada mereka yang mendengar. Bukan senang nak dapat tengok 'bukti hidup'. Jika mereka dah tiada, waris mereka juga merupakan calon yang sesuai untuk difikirkan.



6. Gantung Kain Rentang
Ini aktiviti normal bagi hampir kesemua sekolah yang mengadakan sambutan Bulan Kemerdekaan. Kain rentang dengan warna dan juga kata-kata patriotik dihias indah di seluruh kawasan sekolah. Tak dilupakan juga bendera Malaysia dan negeri masing-masing yang menjadi kebanggaan. Cadangan saya, jika mahu berjimat, maka tuliskan saja "Selamat Hari Kebangsaan" tanpa perlu menulis tahun atau sambutan kali ke berapa. Nanti tahun depan boleh guna lagi.



7. Hias Kelas
Bagi nak menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan di peringkat sekolah, maka jangan lupa juga hiaskan kelas anda dengan hiasan yang bertemakan Kemerdekaan. Bendera Malaysia dan bendera negeri merupakan antara hiasan wajib ada dalam kelas. Tak lupa juga poster dengan wajah-wajah tokoh yang berjuang untuk kemerdekaan negara. Kata-kata patriotik daripada tokoh-tokoh ini juga boleh dijadikan poster hiasan dinding yang menarik.



8. Nyanyian
Bab nyanyi-nyanyi nih orang Malaysia memang johan lah. Dari yang kecik, sampai lah yang ke tua, semua pandai menyanyi. Maka untuk itu buatlah persembahan nyanyian di dataran sekolah. Mungkin seminggu sekali dalam bulan Kemerdekaan, atau pun setiap hari dalam minggu sambutan. Setiap kelas yang mempersembahkan nyanyian mereka perlulah mengenakan pakaian tradisional bagi menambah seri.



9. Main Muzik Tradisional
Bakat hebat macam nih memang jarang nak jumpa. Tapi kalau kat sekolah cikgu ada pelajar-pelajar yang pandai main alat muzik tradisional macam Er-Hu, Betaboh, Tabla, Gendang Cina, Seruling, Gamelan, Angklung, Sumputon dan lain-lain, maka sila lah gunakan bakat mereka dengan seadanya. Sekurang-kurangnya ini juga peluang mereka untuk mengasah bakat. Dalam masa yang sama tentu muncul peminat dan penggemar baru bagi alat muzik tersebut.



10. Bendera Botol
Ini antara aktiviti yang saya rasa banyak sekolah dah buat sejak dari zaman berzaman. Namun keseronokannya masih boleh dirasakan apatah jika dibuat beramai-ramai. Boleh arahkan pelajar mengumpulkan botol mineral bersaiz kecil. Warnakan mengikut bendera jika rajin. Kemudian susun di pagar sekolah mengikut bendera Malaysia, atau mengikut kata-kata sempena Merdeka.



11. Bina Model Bangunan Bersejarah
Jika nak tambahkan lagi rasa kemeriahan sambutan Merdeka di sekolah, boleh juga binakan model sementara bangunan bersejarah yang ada di Malaysia. Bayangkan jika Kota A Famosa versi mini dan model dibina di kawasan strategik sekolah anda, bersebelahan dengan bangunan bersejarah lain yang ada di Malaysia, tentu sesuai sekali dijadikan lokasi fotografi terbaik di sekolah!



12. Lakonan Semula Adegan Sejarah
Sekolah dengan pasukan teater atau drama yang aktif boleh mengadakan lakonan semula adegan sejarah perjuangan Kemerdekaan bagi membolehkan pelajar mengikuti kisah mereka dengan lebih dekat. Kalau nak lebih menarik, boleh terus adakan di kawasan terbuka seperti kantin, dewan sekolah atau dataran perhimpunan, tanpa perlu ada perancangan yang rapi. Spontan!



13. Berpakaian Tradisional
Bagi nak memeriahkan perhimpunan sempena sambutan Hari Kemerdekaan di sekolah, apa kata pihak sekolah benarkan para pelajar berpakaian tradisional untuk satu hari. Tentu menarik jika kita melihat satu sekolah dengan pakaian tradisional masing-masing. Bekalkan juga bendera Malaysia, bagi mewujudkan lagi suasana seperti yang dikehendaki. Sebelum tamat persekolahan, umumkan juga Raja dan Ratu Sehari ala-ala Prom King, Prom Queen. Tentu melaram sakan para pelajar!



14. Pertunjukan Fesyen
Sekali sekala buat kelainan sambutan Merdeka dengan Pertunjukan Fesyen. Boleh anjurkan pertandingan mereka fesyen dalam kalangan para pelajar, atau pun sekadar pertunjukan fesyen-fesyen yang sesuai dengan tema kemerdekaan. Jika sekiranya sekolah anda mempunyai koleksi-koleksi pakaian tradisional dari pelbagai bangsa di Malaysia, elok juga gunakan kesempatan ini untuk memperkenalkan kepada anak murid mengenai pakaian tradisional tersebut.



15. Pameran
Akhir sekali, pameran yang berkaitan dengan Kemerdekaan boleh juga dianjurkan di sekolah. Pilih satu ruang atau kawasan yang sesuai, dan pamerkan barang-barang, atau artikel, atau gambar yang berkaitan dengan sejarah kemerdekaan. Tak lupa juga nak bagi lebih menarik, hias cantik-cantik kawasan tersebut dengan hiasan yang berciri Hari Kemerdekaan.

Semoga aktiviti ini dapat memberi idea kepada rakan guru dalam memikirkan aktiviti sesuai yang menarik untuk diadakan di sekolah sepanjang Bulan Kemerdekaan ini. Paling penting harus diingat adalah impak aktiviti tersebut kepada pelajar dalam mendidik pelajar untuk menghayati erti nilai kemerdekaan sebenar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan